Tuesday, 1 April 2014

ASAL USUL MASYARAKAT MELAYU DI BUKIT KOTA SEKARANG

MASYARAKAT MELAYU di BUKIT KOTA yang ada sekarang sebahagian besarnya adalah warisan turun-temurun daripada zaman silam di samping kedatangan beberapa kelompok keluarga dari negeri-negeri lain di abad-abad kemudiannya.

Sebahagian warisan keturunan ini sukar dikesan asal-usul nenek moayang mereka kerana tiada lagi orang-orang tua yang boleh dirujuk untuk menceritakan asal usul mereka secara berkesinambungan.  Sebahagian lagi, tidak ambil kisah tentang asal-usul dan salasilah keluarga mereka.

Sebagai satu permulaan kepada pencarian asal usul keluarga yang telah "hilang" itu sedangkan warisan mereka masih hidup, dan berkembang di serata Pahang dan negeri lain di Malaysia, maka MASYARAKAT MELAYU yang ada di BUKIT KOTA sekarang dapat ditelusuri daripada beberapa JURAI KETURUNAN yang berlainan.

PERTAMA :
Warisan keturunan SRI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA JELAI yang MEMBUKA JELAI sekitar abad ke-16M.

Nenek-moyang asal SRI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA JELAI yang membuka Jelai (Ulu Pahang) ini dipercayai telah membuat petempatan terawal di ULU JELAI.  Petempatan terawal itu tidak diragui bertempat di sekitar KUALA SG. JELAI KECIL kerana di tempat tersebut hingga kini dapat kita saksikan "sebuah dusun durian" yang diketahui umum asalnya milik keturunan ORANG BESAR JELAI ini.

Menurut satu versi oral tempatan, disebabkan satu ketika dahulu, berlaku satu jenis penyakit yang dikenali sebagai PENYAKIT HAWAR di ULU JELAI, dan ramai penduduk di sana yang meninggal dunia, maka SRI MAHARAJA PERBA 1@MAHARAJA PERBA JELAI 1 itu bersama kaum keluarga, dan pengikut setia terpaksa menghilir SG. JELAI sehingga mereka tiba di MUARA SG. TANUM. Namun begitu, SRI MAHARAJA PERBA 1@MAHARAJA PERBA JELAI 1 tidak membuat petempatan di MUARA SG. TANUM, tetapi lebih suka membuat petempatan jauh di pertengahan SG. TANUM yang dikenali sebagai SEMPUT.  

Berdasarkan beberapa rujukan silang, diperkirakan SRI MAHARAJA PERBA 2@MAHARAJA PERBA 2 yang bernama WAN MUHAMMAD II@RAJA  MUDA itulah yang mendiami SEMPUT (1663-1688M), dan kemudian mengahwini PUTERI BUNIAN seperti yang dapat diperhatikan dalam SALASILAH MAHARAJA PERBA (W. Linehan, 1973).  Peristiwa ini dikatakan berlaku semasa, SRI MAHARAJA PERBA WAN MUHAMMAD II @RAJA MUDA, dan para pengikut berburu-buru, dan tersesat di BUKIT BERENTING (Kediaman Puteri Bunian).  Dalam mimpinya, SRI MAHARAJA PERBA WAN MUHAMMAD@RAJA MUDA perlu berkahwin dengan PUTERI BUNIAN itu jika ingin keluar dari BUKIT BERENTING. Wallahualam.

Sewaktu WAN ISMAIL@WAN SARAH diangkat sebagai SRI MAHARAJA PERBA 3 @MAHARAJA PERBA JELAI 3 (1688-1699M), petempatan di SEMPUT itu dipercayai tidak sesuai lagi dengan perkembangan semasa, lalu SRI MAHARAJA PERBA WAN ISMAIL@WAN SARAH, kaum keluarga, dan para pengikut setianya menghilir ke MUARA SG. TANUM, lalu membuat kediaman di atas sebuah kawasan berbukit yang kini dikenali sebagai BUKIT KOTA. Sejak itu, BUKIT KOTA menjadi Pusat Pemerintahan SRI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA yang menjadi "WAKIL MUTLAK" SULTAN JOHOR-RIAU di ULU PAHANG. Ketika itu, PAHANG berada di bawah autoriti KESULTANAN JOHOR-RIAU. SRI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA JELAI dalam period ini perlu patuh kepada SULTAN MAHMUD II@SULTAN MAHMUD MANGKAT DIJULANG (SULTAN JOHOR-RIAU X 1685-1699M) yang juga mempunyai autoriti ke atas PAHANG.  Wallahualam.

Meskipun, dari segi penyusunannnya masih dalam penelitian dan penyelidikan, tetapi setakat yang boleh direkonstruksikan, SALASILAH SRI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA dapat disusurgalur seperti berikut :

TUN OMAR  (Bendahara Patani II)
TUN ABD SAMAD (Bendahara Patani III)
TUN@WAN MUHAMMAD I (Membuka Jelai)
TUN ABD LATIF (Sri Maharaja Perba@Maharaja Perba 1)
WAN MUHAMAD II @RAJA MUDA (Sri Maharaja Perba@Maharaja Perba 2)
WAN ISMAIL@WAN SARAH (Sri Maharaja Perba@Maharaja Perba 3)
WAN MUHAMMAD III (Seri Maharaja Perba@Maharaja Perba 4)
Dato' (Engku) WAN IDRIS (Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai 5)
Dato' (Engku) WAN MUHAMMAD IV (Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai 6)
Dato' (Engku) WAN CHIK BIN Dato' MPJ WAN MUHAMMAD (Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai 7)
Dato' (Engku) WAN TANJUNG BIN Dato' MPJ WAN MUHAMMAD(Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai 8)
Dato' (Engku) WAN ALI BIN Dato' MPJ WAN CHIK (Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai 9)
Dato' (Engku) WAN IBRAHIM BIN Dato' MPJ WAN TANJUNG (Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai 10)
Dato' (Engku) WAN BADIUZZAMAN BIN Dato' MPJ WAN ALI (Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai 11)
Dato' (Engku) WAN ABDUL RAHMAN (Orang Kaya Indera [Maharaja] Perba Jelai 12)

Sumber
SALASILAH MAHARAJA PERBA ini dipadankan dan diubahsuai drp (1) Laman Pahang, (2) A History of Pahang, (3)  Zakaria Md Dom

Kepada PENELITI SALASILAH SRI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA JELAI - sila buat pelbagai rujukan silang, termasuk "Keluarga Utama" ORANG KAYA INDERA (MAHARAJA) PERBA JELAI yang masih ada sekarang. 

KEDUA :
Warisan keturunan PANGLIMA/BANGSAWAN dari luar yang datang ke BUKIT KOTA, dan berkahwin dengan keluarga SRI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA JELAI.

KETIGA :
Warisan keturunan PENGIKUT SETIA SRI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA JELAI di kalangan rakyat biasa yang terus bermastautin di BUKIT KOTA, dan di abad-abad kemudian berkahwin juga dengan saudara-mara SRI MAHARAJA PERBA@MAHARAJA PERBA JELAI.

Generasi baru boleh mengesan nama-nama berikut yang pernah hidup di BUKIT KOTA dengan bertanya kepada generasi lama yang masih hidup. Sebahagian warisan mereka mungkin masih bermastautin di BUKIT KOTA, manakala sebahagian lain mungkin berhijrah ke tempat lain. Wallahualam.

SIAK PERANG
TOK MUKIM LELA
TOK MUKIM KASSIM
TOK MERU
TOK MUKIM ADAM
TOK MUDA WAN AHMAD
TOK PAWANG AKIB
HJ. SIDEK (BUGIS)
TOK MUKIM YUSOF
WAHID BIN AWANG
AWANG BUGIS
KHATIB ALI
AWANG DIUNG
TOK 4 AWANG DAHAN
TOK KHATIB DERIS
LEBAI SAHAK
IMAM ARSHAD
TOK SIAK HUSSEIN BIN MERU
TOK 4 HAMZAH BIN HUSSEIN

KEEMPAT :
Warisan keturunan yang berhijrah ke BUKIT KOTA atas pelbagai sebab : bekerja dI bawah MAHARAJA PERBA JELAI, mencari rezeki, mencari perlindungan dsbnya.

KELIMA :
Warisan keturunan yang berhijrah ke BUKIT KOTA yang membuka kawasan baru untuk dibuat petempatan atas kebenaran MAHARAJA PERBA JELAI. 

Disebabkan BUKIT KOTA bukan merupakan petempatan yang cukup luas untuk menampung jumlah penduduk yang sentiasa berkembang, maka sebahagian besar keluarga daripada 5 keturunan ini berhijrah ke luar dari BUKIT KOTA ke tempat-tempat lain dalam DAERAH LIPIS, malah ke luar NEGERI PAHANG. 

Justeru, kini BUKIT KOTA masih terus dihuni oleh MASYARAKAT MELAYU warisan zaman silam meskipun sebahagian mereka tidak lagi dapat menghuraikan susur galur nenek-moyang mereka yang asal.  Namun, apa yang pasti, kini sebahagian besar mereka telah menjadi keluarga besar hasil perkahwinan, dan persemendaan yang berterusan dari semasa ke semasa. 

Wassalam

3 comments:

  1. detail pasal tun omar ade x admin?

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,terima kasih atas pencerahan di atas. Saya pon masih mencari susur galur yg sampai kepada Dato Maharaja Perba Jelai, dan setakat yang baru saya dapat saya keturunan ke-4 dari To' Muda Wan Ahmad bin Wan Yusof. Wan Yusof yg dikatakan dari Tembeling yg berkahwin dgn Wan Teh binti DMPJ Wan Idris (OKIMPJ -5 ). Wallahua'lam.

    ReplyDelete
  3. Mohon share sejarah Siak Perang (Tok Mukim Lela). Beliau adalah moyang kepada saya.

    ReplyDelete